Rakyat Digesa Bersatu, Pertahan Kedaulatan Negara

20 Mac 2013, 05:13 | Oleh: BN Selangor

RakyatDigesaBersatu

KUALA LUMPUR 15 Mac – Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam berkumpul di hadapan Masjid Negara selepas solat Jumaat hari ini sebagai tanda menggesa rakyat bersatu bagi mempertahankan kedaulatan negara.

Presiden Pertubuhan Jalur Tiga (Jati) Datuk Dr Hasan Ali berkata sokongan yang tidak berbelah bahagi perlu diberikan kepada anggota keselamatan yang memperjuangkan keamanan negara.

“Setiap rakyat tanpa mengira bangsa perlu menjalinkan hubungan bersama dalam memberikan sokongan dalam usaha menjaga keamanan negara.

“Bagi pihak Jati yang memperjuangkan agama Islam, hak orang Melayu dan raja-raja Melayu, kami tidak reda dengan apa yang berlaku…tidak reda dengan tindakan kumpulan pencerobohan yang mahu menjajah Sabah,”katanya.

Beliau berkata demikian pada Himpunan Gerakan Rakyat Menolak Pengkhianat Negara di sini.

Perhimpunan yang turut dihadiri oleh Mursyidul Am Gerakan Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (Tibai) Zahid Md Arip, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali dan Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah dilakukan berikutan insiden pencerobohan di Lahad Datu.

Tambahnya, pihak yang dipercayai menjadi dalang terhadap insiden tersebut perlu dihapuskan dalam usaha menjaga keamanan negara ini.

Kita nyahkan individu-individu yang menyuntik kuman-kuman keganasan,pertempuran sesama sendiri dan membawa kepada perpecahan umat Islam.

“Jika ada pencuri masuk ke rumah kita, kita halau…tapi ada kumpulan yang menceroboh masuk ke negara kita. Mari kita sama-sama tentukan mereka dapat balasan sepatutnya,” katanya ketika ditanya mengenai dakwaan wujudnya dalang berhubung pencerobohan tersebut.

Sementara itu, Naib Presiden Perkasa, Datuk Zulkifli Nordin turut menyeru agar peristiwa di Lahad Datu sebagai dijadikan sebagai pengajaran dan bersama membangkitkan solidariti dalam mempertahankan negara.

“Kita sedang berdepan dengan keadaan yang mengancam kedaulatan negara ekoran pencerobohan di Lahad Datu. Jadikan peristiwa itu sebagai satu pengajaran kepada kita,” katanya.

Dipetik dari: http://www.klpos.com

comments powered by Disqus

PAKAR Buat Aduan PAKAR